Contoh Karangan SPM - Kesan Peperangan terhadap negara
Peperangan
merupakan peristiwa yang membawa kesan negatif kepada sesebuah negara.
Bincangkan kesan-kesan yang dialami oleh negara yang terlibat dalam
peperangan tersebut.
Peperangan merupakan pertempuran antara dua
atau lebih negara dengan menggunakan senjata. Peperangan boleh
ditakrifkan sebagai konflik antara kumpulan-kumpulan pesaing dengan
menggunakan taktik kekerasan. Peperangan yang berleluasa semasa
perkembangan tamadun manusia sehingga hari ini telah memberi banyak
kesan negatif dari segi ekologi dan kehidupan manusia. Pelbagai usaha
telah dilaksanakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk
memastikan peristiwa peperangan tidak berlaku. Namun demikian, usaha
yang dilakukan ini ibarat mencurah air ke daun keladi kerana
pencerobohan Rusia ke atas Ukraine telah berlaku pada tahun 2022.
Peperangan masih menjadi alat utama untuk memenuhi cita-cita politik dan
keperluan pihak yang tidak bertanggungjawab. Persoalannya, apakah kesan
buruk yang dialami oleh negara yang terlibat dalam peperangan?
Salah
satu kesan peperangan yang paling buruk ialah peperangan akan
mengorbankan nyawa manusia yang tidak berdosa. Rakyat yang tidak
bersalah seperti kanak-kanak, wanita dan orang tua sentiasa dibunuh
tanpa rasa belas kasihan apabila peperangan berlaku. Kekejaman tentera
penceroboh yang tidak berperikemanusiaan melakukan serangan letupan bom
tanpa mengira tempat dan keadaan. Tambahan pula, wabak-wabak penyakit
akan merebak semasa peperangan kerana keadaan persekitaran telah
tercemar. Kekurangan kemudahan hospital dan peralatan perubatan juga
memburukkan keadaan ini. Sebagai contoh, gerakan ketenteraan Russia di
Ukraine telah mengorbankan banyak nyawa tanpa mengira rakyat Russia atau
Ukraine. Tegaslah di sini bahawa, peperangan yang berlaku akan membawa
kepada kehancuran dan mengorbankan nyawa manusia malah dapat menjejaskan
keharmonian sejagat manusia.
Peperangan telah menghancurkan
komuniti masyarakat di sesuatu kawasan itu. Akibat daripada keganasan
dan kezaliman semasa peperangan, orang ramai terpaksa melarikan diri ke
kawasan yang selamat dengan berjalan kaki beratus-ratus kilometer
jauhnya. Untuk mengelakkan serangan bom, penduduk terpaksa bersembunyi
di tempat perlindungan yang dibina khas. Mangsa yang tidak berdosa akan
kehilangan tempat tinggal. Mereka juga kehilangan orang yang tersayang
kerana terkorban dalam peperangan. Dalam keadaan sedemikian, tidak ada
hak kebebasan diri lagi. Mangsa perang akan berhidup dengan perasaan
takut kerana tiada pihak yang boleh menjamin keselamatan seseorang.
Selain
itu, peristiwa peperangan akan menimbulkan krisi ekonomi dan
mengancamkan sektor ekonomi negara. Sistem ekonomi bagi negara yang
terlibat dalam peperangan akan mengalami gangguan yang teruk sehingga
menjejaskan pembangunan negara kerana bajet negara telah berbelanja
dalam membeli senjata dan memperkukuhkan ketenteraan negara. Apabila
peperangan berlaku, masyarakat setempat terpaksa melepaskan pekerjaan
mereka. Kebanyakan firma juga terpaksa memberhentikan operasi.
Aktiviti-aktiviti ekonomi seperti pertanian, perdagangan dan pelancongan
tidak dapat berjalan dengan lancar. Setelah peperangan sudah tamat,
keadaan ketidakstabilan politik juga tidak dapat menarik pelabur asing
untuk melabur di negara tersebut. Kadar penggangguran dan krisis inflasi
akan meningkat dan pembangunan negara tidak dapat berkembang dalam masa
yang singkat.
Pencemaran yang berlaku merupakan satu lagi kesan
peperangan yang serius dan bahaya terhadap manusia. Pencemaran yang
dahsyat di mana telaga-telaga minyak diletupkan telah memberi kesan yang
teruk kepada hidupan akuatik dan mengakibatkan sumber makanan terancam.
Selain itu, letupan bom, terutamanya bom nuklear akan mengakibatkan
kesan pencemaran radioaktif dan mengakibatkan kawasan yang diletupkan
itu menjadi gersang. Banyak spesies fauna dan flora akan musnah dan
kehilangan habitat mereka. Kesan pencemaran radioaktif akan
mengakibatkan masalah kepada zuriat manusia seperti kecacatan pada
generasi yang seterusnya. Sebagai contoh, bom atom yang digugurkan di
Hiroshima dan Nagasaki telah menyebabkan sisa-sisa nuklear terbebas di
udara dan mengancam kehidupan manusia sampai ke hari ini.
Kesimpulannya,
peperangan akan membawa banyak kesan terhadap sektor politik, ekonomi
dan sosial seperti yang dilihat di negara Ukraine. Kesedaran tentang
kesan peperangan mesti diwujudkan di seluruh dunia supaya manusia cinta
akan keamanan. Negara-negara mestilah memupuk semangat toleransi dan
keharmonian supaya dapat mengelakkan konflik atau peperangan. Peperangan
harus dielakkan melalui jalan perundingan di peringkat antarabangsa.
Persidangan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu harus lebih peka
dalam menangani dan mengelakkan peperangan agar pembangunan ekonomi dan
kemajuan manusia dapat dimantapkan.